GEDONG: Golongan belia khususnya ahli Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini digesa memperkukuhkan lagi hubungan kerjasama dan bersedia menyesuaikan diri dengan ledakan teknologi.
Timbalan Ketua Cawangan PBB Gedong, Datuk Mohd. Naroden Majais berkata, ia penting bagi memastikan rakyat Gedong menikmati limpahan serta kesinambungan pembangunan yang dibawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dengan jawatankuasa baharu Pemuda PBB Cawangan Gedong menunjukkan kerjasama antara belia berpengalaman dengan belia angkatan lebih muda semangat bekerja dalam satu pasukan dan menguasai teknologi, katanya semasa berucap pada Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Gedong di sini.
Mohd Naroden berkata, ini bukan saja menggambarkan minat generasi muda dalam pembangunan politik tetapi untuk menyumbang kepada pembanguan belia di DUN Gedong.
Menurutnya, dalam usaha merancang pembangunan fizikal, penghasilan modal insan juga memainkan peranan seimbang terutama pemerkasaan belia dalam bidang ekonomi digital.
Beliau berkata, peredaran zaman ke arah ekonomi masa depan melalui teknologi digital sering ditekankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru, beliau menggesa generasi muda menggunakan peluang itu untuk membangunkan diri.
“Ekonomi masa depan berlandaskan digital, internet dan teknologi. Justeru, belia harus manfaatkannya ia sebagai budaya dan cara hidup masa depan.
“Lengkapkan diri dengan kemahiran supaya generasi masa depan tidak ketinggalan,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti